Isnin, 1 Disember 2008

Bangunan Terbengkalai Cacatkan Kuala Lumpur!!!




Cukup singkat masa berlalu. Itu yang boleh dikatakan apabila melihat satu demi satu bangunan terbengkalai di ibu negara sejak 10 tahun sampai sekarang, masih gagal dipulihkan. Bukan satu atau dua projek yang terbengkalai sebaliknya berpuluh-puluh projek daripada skala kecil, sederhana dan besar ekoran kegawatan 1998 yang menjejaskan banyak negara di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia. Hari ini, dunia sekali lagi mengalami kemelesetan ekonomi yang sudah pun menjejaskan banyak negara. Justeru melihat keadaan kondominium terbiar di Taman Angsana Hilir, Ampang sejak 10 tahun lalu, nasibnya akan terus begitu dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Sumber: Utusan Malaysia

32,760 Projek Perumahan Rakyat Milik DBKL


Kementerian Wilayah Persekutuan telah berjaya membangunkan sebanyak 32,760 Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dari tahun 1999 sehingga kini. Menterinya, Datuk Seri Zulhasnan Rafique berkata, rumah tersebut mempunyai kemudahan tiga bilik dan dua bilik air bagi tujuan keselesaan kepada penghuni.Sehubungan itu katanya, semua penghuni yang tinggal di kawasan setinggan dan rumah panjang telah dipindahkan berikutan penghuni sebelum ini mengalami masalah ketidakselesaan ekoran ruang kediaman yang kecil. Sumber: Utusan Malaysia.

Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Berpuashati

Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu cawangan Datuk Keramat berpuas hati apabila tuntutannya bakal dipenuhi sebagai syarat untuk mereka bersetuju berpindah ke pasar baru. Walaupun sedar bukan semua tuntutan mereka akan diterima oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun mereka berharap sekurang-kurangnya perkara-perkara penting 'yang mesra peniaga' diberikan keutamaan. "Kami berterima kasih kepada Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan Datuk Noh Omar kerana sudi melawat pasar baru dan lama serta mendengar masalah serta mengambil kira tuntutan kami. Sumber: Utusan Malaysia.

Isu Pasar Datuk Keramat Selesai?



Kekusutan isu para peniaga di Pasar Datuk Keramat di sini yang enggan berpindah ke pasar baru akan terlerai selepas pertemuan mereka dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique. Zulhasnan, yang melawat pasar baru itu bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar pada dasarnya bersetuju bahawa beberapa tuntutan para peniaga itu wajar diberikan pertimbangan demi kepentingan perniagaan mereka. Para peniaga itu enggan berpindah ke pasar baru kerana berpendapat kemudahan yang disediakan di situ tidak menepati keperluan mereka dan juga menimbulkan risiko perniagaan mereka terjejas. Oleh itu, para peniaga telah membuat beberapa tuntutan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar pengubahsuaian dibuat terutamanya terhadap kedai di pasar basah selain beberapa kemudahan lain. Zulhasnan yang turut mendapatkan pandangan peniaga dan penerangan arkitek perunding projek dalam lawatannya selama kira-kira dua jam di situ berpendapat beberapa perkara memang memerlukan pengubahsuaian. Katanya, beliau setuju ada perkara-perkara yang perlu diteliti semula seperti reka bentuk kedai, saiz dan kawasan letak kereta serta isu keselamatan. Sumber: Utusan Malaysia