
Kekusutan isu para peniaga di Pasar Datuk Keramat di sini yang enggan berpindah ke pasar baru akan terlerai selepas pertemuan mereka dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique. Zulhasnan, yang melawat pasar baru itu bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar pada dasarnya bersetuju bahawa beberapa tuntutan para peniaga itu wajar diberikan pertimbangan demi kepentingan perniagaan mereka. Para peniaga itu enggan berpindah ke pasar baru kerana berpendapat kemudahan yang disediakan di situ tidak menepati keperluan mereka dan juga menimbulkan risiko perniagaan mereka terjejas. Oleh itu, para peniaga telah membuat beberapa tuntutan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar pengubahsuaian dibuat terutamanya terhadap kedai di pasar basah selain beberapa kemudahan lain. Zulhasnan yang turut mendapatkan pandangan peniaga dan penerangan arkitek perunding projek dalam lawatannya selama kira-kira dua jam di situ berpendapat beberapa perkara memang memerlukan pengubahsuaian. Katanya, beliau setuju ada perkara-perkara yang perlu diteliti semula seperti reka bentuk kedai, saiz dan kawasan letak kereta serta isu keselamatan. Sumber: Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan